Penyelidikan, Inovasi & Konsultansi
Penyelidikan, inovasi, dan konsultansi merupakan antara peranan penting yang dimainkan oleh Persatuan Kedoktoran Teknikal Malaysia (MTDA). Ahli MTDA yang terdiri daripada pakar yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersendiri boleh menyumbang kepada perkembangan ilmu pengetahuan dan teknologi di Malaysia melalui kerjasama dan konsultasi dalam pelbagai aktiviti dan program penyelidikan dan inovasi yang dilaksanakan di peringkat institusi, nasional dan antarabangsa.
Secara ringkasnya, berikut dihuraikan aspek penyelidikan, inovasi, dan konsultansi:
Penyelidikan:
MTDA menggalakkan penyelidikan dilaksanakan bagi menyiasat dan mengkaji sesuatu topik, masalah, atau persoalan secara sistematik bertujuan untuk menemui pengetahuan baharu, meluaskan pengetahuan sedia ada, atau menyelesaikan masalah tertentu. Ahli digalakkan terlibat dalam menjalankan proses inkuiri secara bersendirian, berkumpulan atau kerjasama dengan pihak berkepentingan bagi mengumpul, menganalisis, mentafsir dan menilai maklumat untuk mendapatkan pandangan dan membuat kesimpulan, seterusnya menyumbang maklumat hasil dapatan penyelidikan tersebut kepada masyarakat tempatan dan dunia.
Penyelidikan boleh dijalankan dalam pelbagai bidang seperti TVET (Technical and Vocational Education and Training), kejuruteraan, teknologi, sains, sains sosial, dan kemanusiaan. Kebiasaannya, proses penyelidikan menggunakan pendekatan berstruktur dan sistematik, melibatkan perumusan soalan atau hipotesis kajian, reka bentuk eksperimen atau metodologi, pengumpulan data, analisis, dan tafsiran penemuan.
Objektif: Memudah cara kerjasama dalam bidang penyelidikan dengan organisasi dalam dan luar negara agar dapat menghasilkan penyelidikan yang berimpak tinggi dan berkualiti.
Tugas dan Tanggungjawab:
- Mengendalikan, mengurus, dan menyelaraskan aktiviti penyelidikan dan perundingan yang dilaksanakan oleh penyelidik, perunding, dan pensyarah;
- Menyediakan maklumat mengenai kursus dan latihan berkaitan penyelidikan dan perundingan; dan
- Menyemak kertas cadangan dan menganjurkan aktiviti dan program yang berkaitan penyelidikan seperti seminar dan persidangan, serta menyelaras pengurusan, termasuk melantik penceramah, panel penilai dan sebagainya.
Inovasi:
Inovasi dapat didefinisikan sebagai suatu penemuan baharu yang melibatkan input, proses, dan output, serta dapat memberikan manfaat kepada kehidupan manusia. Justeru, MTDA menggalakkan ahlinya terlibat dalam inovasi bagi membuat penemuan baharu atau menghasilkan produk atau perkhidmatan yang lebih baik terutama melalui pengubahsuaian dam penambahbaikan. MTDA boleh menyelaras aktiviti yang menyumbang kepada idea-idea kreatif dan inovatif dalam berbagai aspek pekerjaan dan kehidupan yang dapat meningkatkan kualiti dan produktiviti organisasi dan negara. Ia mencakupi aspek perubahan dalam sistem dan prosedur, cara kerja, atau teknologi baharu muncul. Inovasi diggalakkan untuk meningkatkan persaingan sihat, mengiktiraf hasil inovasi, memupuk budaya kreatif dan inovatif, serta menyebarkan hasil-hasil inovasi yang dapat dicontohi dan memberi manfaat kepada masyarakat sejagat agar kualiti kehidupan dapat ditingkatkan.
Objektif: Mempromosi inovasi dan menggalakkan penemuan baharu dalam semua skop.
Tugas dan Tanggungjawab:
- Menggalakkan, meningkatkan dan memantau penyertaan ahli dalam konsultansi dan aktiviti inovasi;
- Membantu mendapatkan tempat melalui usahasama antara kerajaan, universiti, institusi, komuniti dan industri bagi tujuan pembangunan dan menginovasi sesuatu produk atau perkhidmatan ke arah yang lebih baik;
- Menggalakkan aktiviti serta program yang boleh menjana pendapatan kepada organisasi;
- Mengumpul data inovasi dan pengkomersialan; dan
- Menyebar maklumat berkaitan inovasi dan pengkomersialan yang boleh dimanfaatkan.
Konsultansi:
MTDA menyediakan platform konsultasi bagi memudah cara proses komunikasi atau pertemuan antara dua pihak atau lebih agar perkongsian ilmu pengetahuan dapat dilaksanakan, dan sesuatu permasalahan atau topik tertentu dapat dibincangkan dan diperhalusi bagi mencapai keputusan atau solusi secara sepakat dan menang-menang.
Objektif: Memperkukuh dan menjalin hubungan pelbagai hala dengan masyarakat luar terutamanya agensi Kerajaan, komuniti dan industri.
Tugas dan Tanggungjawab:
- Menjalinkan hubungan antara MTDA dengan badan-badan masyarakat, agensi kerajaan, institusi, industri dan NGO; dan
- Memudah cara proses komunikasi atau pertemuan antara pelbagai pihak agar hasil aktiviti konsultasi dapat menyumbang kepada pembangunan sosio ekonomi masyarakat dan negara.
Sorotan Aktiviti Penyelidikan, Inovasi, dan Konsultansi
MTDA telah melaksanakan pelbagai aktiviti dan program sejak penubuhannya pada tahun 2016. Aktiviti dan program berimpak tinggi dalam penyelidikan, inovasi, dan konsultansi yang telah dilaksanakan secara kolaborasi antaranya dengan Universiti Ekasakti Padang dan Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2018, Politeknik Medan (POLMED) dan Politeknik Nilai pada tahun 2019, Universiti Sains Malaysia pada tahun 2021, serta Colombo Plan Staff College (CPSC) pada tahun 2023.
Untuk maklumat lanjut, layari https://www.facebook.com/maltech.